Pajakan vs Pegangan Bebas (Leasehold vs Freehold)

26 07 2009

Sumber:wsahabat.blogspot.com/2009/02/pajakan-vs-pegangan-bebas-leasehold-vs.html
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

“En. Isa, rumah nie Freehold ke Leasehold?”

Saya seringkali ditanyakan tentang persoalan diatas ketika berurusan dengan prospek yang ingin membeli hartanah, tak kira tanah lot banglo, rumah teres, bangunan komersial mahupun apartment dan kondominium. Apakah penting sebelum membuat pembelian untuk mengetahui status hartanah tersebut? Apakah perbezaan dan kesannya terhadap pembeli? Saya akan mengupas persoalan-persoalan tersebut satu persatu melalui pengalaman saya sebagai perunding hartanah.

Amat jarang sekali prospek saya yang tidak bertanyakan persoalan diatas. Kalau adapun, prospek saya yang datang dari luar negara yang tidak pernah pun tahu tentang hal ini. Bagi saya, persoalan ini amat penting kepada pembeli hartanah. Terdapat dua kategori besar pembeli hartanah. Kategori yang pertama ialah mereka yang membeli hartanah untuk kegunaan sendiri dan kategori yang kedua ialah pelabur hartanah.

Walaupun kedua-dua kategori yang saya sebutkan diatas akan lebih cenderung memilih hartanah berstatus Pegangan Bebas (Freehold), adakah ini bermakna hartanah Pajakan (Leasehold) tidak mendapat sambutan? Ketika saya mula-mula bekerja dengan pemaju perumahan, saya telah ditugaskan untuk memasarkan dua projek perumahan yang mempunyai status Pegangan Bebas dan Pajakan.

Projek Perumahan (A) yang berstatus Pegangan Bebas terletak diatas bukit yang nyaman dengan persekitaran yang tenang, terletak hanya 1.5 km dari Bandar Rawang, mempunyai senibina yang menarik dan dan lebih luas. Manakala, Projek Perumahan (B) yang berstatus Pajakan pula terletak bersebelahan dengan bukit batu kapur dan lebuhraya yang sibuk, keluasan yang agak kecil dan senibina yang tidaklah begitu menarik. Terletak kira-kira 12 km dari pusat Bandar Kuala Lumpur dan harganya lebih mahal berbanding Projek Perumahan (A).

Setelah setahun setengah dilancarkan, Projek Perumahan (B) telahpun 99% habis terjual dan fasa kedua dilancarkan. Kali ini fasa kedua hanya mengambil tempoh yang singkat untuk dipasarkan. Berbanding Projek Perumahan (A), walaupun hanya sedikit unit rumah ditawarkan, ianya mengambil tempoh yang agak lama untuk terjual. Jelas sekali disini, faktor status hartanah adalah bersifat sementara untuk pembeli kategori pertama. Lokasi hartanah akan mewajarkan keputusan untuk memutuskan pembelian hartanah yang diidamkan. Jika anda bekerja di Lembah Kelang, adakah berbaloi anda membeli rumah idaman berstatus Pegangan Bebas di Bandar Rawang?

Bagi pembeli kategori kedua iaitu pelabur hartanah, status Pajakan adalah sesuatu yang jika boleh sangat mahu dielakkan. Ini kerana proses pindah milik setelah mereka menjual hartanah tersebut akan mengambil masa yang agak lama dan ini akan merugikan mereka. Walaubagaimanapun, jika hartanah yang ditawarkan terletak dilokasi yang sangat strategik dan mempunyai bekalan yang terhad, pelabur akan mempertimbangkan untuk membelinya kerana peningkatan nilai hartanah tersebut kelak.

Kebanyakan hartanah yang dibangunkan di negeri Selangor dewasa ini mempunyai status Pajakan. Pajakan selama 99 tahun adalah melebihi satu generasi dan hartanah seperti ini masih boleh dipertimbangkan. Apa yang perlu anda teliti, jika anda mahu membeli hartanah, pastikan ianya tidak kurang dari pada 50 tahun. Kebanyakan institusi kewangan akan memberikan margin yang amat rendah untuk membiayai hartanah seperti ini. Walaupun sesetengah orang akan memberitahu anda bahawa pajakan ini boleh dipanjangkan dengan membayar premium ke pejabat tanah berkenaan, pembelian hartanah seperti ini seeloknya dielakkan. Premium akan dikenakan berdasarkan nilai pasaran untuk melanjutkan tempoh pajakan. Tetapi tiada jaminan tempoh lanjutan pajakan akan diberikan oleh Pejabat Tanah.

Sebagai kesimpulan, hartanah berstatus Pegangan Bebas adalah yang terbaik jika anda dapat memilikinya tetapi tidak semestinya anda tidak boleh menimbangkan untuk membeli hartanah berstatus Pajakan dengan mengambil kira 3 faktor berikut:-

1. Lokasi dan bekalan yang terhad tetapi mempunyai nilaian yang relativenya tidak terlalu tinggi dengan hartanah lain disekitarnya yang mempunyai ciri yang setara.

2. Jika hartanah baru mempunyai Pajakan 99 tahun dan tidak kurang 75 tahun, teruskan hasrat anda untuk memiliki hartanah tersebut kerana tidak akan banyak isu yang timbul.

3. Jika hartanah mempunyai Pajakan kurang 50 tahun, eloklah carilah alternative lain kerana hartanah seperti ini akan mengalami kesusutan nilai yang amat ketara walaupun anda mengambil kira faktor lokasi dan bekalan yang terhad.

Sekian sahaja perkongsian saya kali ini. Semoga mendapat manafaat buat semua pembaca.

Isa Shabidin
Perunding Hartanah
Email: isashabidin77@gmail.com


Actions

Information

Leave a comment